Rabu, 19 Februari 2014
Najib Akan Hadiri WIEF Ke 9 Di London

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja ke London dan Manchester mulai 27 hingga 31 Okt bagi menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-9.
WIEF ke-9 itu diadakan di London mulai 29 hingga 31 Okt dengan kerjasama kerajaan United Kingdom dan Yayasan WIEF Malaysia.
Najib akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan para pegawai dari kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, Najib yang juga penaung WIEF akan menyampaikan ucaptama semasa majlis pembukaan dan akan menjadi hos makan tengah hari dan majlis makan malam bagi para peserta forum.
“Pada hari kedua, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan pada satu acara yang dianjurkan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dan akan mengadakan beberapa siri pertemuan dengan komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Perdana Menteri juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Britain David Cameron, pemimpin dan ketua negara dan kerajaan yang menghadiri WIEF itu.
Enam belas pemimpin negara dan ketua kerajaan telah mengesahkan penyertaan selain 2,000 peserta ke WIEF yang bertemakan “Dunia Berubah, Hubungan Baharu”.
Menurut kenyataan itu, Najib akan melawat Manchester bagi menghadiri program sukarelawan 1Malaysia For Youth (1M4U) selain bertemu rakyat Malaysia di Manchester.
“Najib dan Rosmah juga akan mengambil peluang itu untuk menghadiri sambutan perayaan Deepavali 1Malaysia, anjuran masyarakat Malaysia di London,” kata kenyataan itu.
WIEF ditubuhkan apabila Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-10 pada 2003 yang menyediakan platform perniagaan bertaraf dunia yang memberi pendedahan kepada peluang perniagaan di dunia Islam. – BERNAMA
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar