Senin, 03 Maret 2014

Nik Aziz Kelantan telus dalam beri tender

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan tidak pernah meletakkan syarat hanya penyokong parti itu sahaja layak menerima tender kerana proses tender dilakukan secara telus dan objektif.

Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkara yang amat ditekankan beliau sepanjang lebih 20 tahun menerajui negeri ini adalah ketelusan dalam pemberian tender.

“Sering kali saya berpesan kepada anggota exco bahawa mentadbir negeri ini ialah amanah daripada ALLAH SWT dan jangan sekali-kali memperlakukan negeri seperti hak sendiri.

“Ini kerana, jika sekali pun kita terlepas daripada proses audit di dunia, tidak mungkin perkara yang sama berlaku ketika proses audit di akhirat,” katanya dipetik dalam laman Facebooknya, semalam.

Menurutnya, beliau tidak pernah meletakkan syarat untuk menjadi ahli Pas sebagai laluan mendapatkan sebarang tender.

“Sepanjang pentadbiran saya di Kelantan, seingat saya, Jambatan Lepan Pari yang berada di dalam Dun Chempaka (Dun beliau) pernah diberikan tender kepada sebuah syarikat milik ahli Umno, sedangkan pesaingnya ketika itu merupakan ahli Pas, namun atas prinsip ketelusan, syarikat milik ahli parti lawan mendapat projek tersebut,”
katanya.

Beliau berkata, walaupun tindakan tersebut dipersoalkan banyak pihak, namun jawapan diberikan ialah kerajaan berpegang kepada ketelusan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar